Assalamualaikum dan Salam Ukhuwwah,
Hari ini saya cadang nak kongsikan beberapa tips yang boleh diamalkan oleh ibu bapa yang mempunyai anak perempuan supaya anak anda suka pakai tudung sejak kecil. Kenapa nak kena mulakan dari kecil? Pernah dengar tak pepatah Melayu?
Melentur buluh biarlah dari rebungnya…
Tak rimas ke anak kecil-kecil lagi nak bertudung? Ala,
Alah bisa, tegal biasa…
Sebelum saya teruskan dengan 3 tips supaya anak anda suka bertudung, jom kita refresh balik tentang kenapa perlunya menutup aurat.
Dalil Tentang Kewajipan Menutup Aurat
Dalam Al-Quran ada banyak ayat yang menyentuh tentang kewajipan menutup aurat. Antaranya saya kongsikan di bawah sebagai peringatan kita bersama. Yelah, kadang-kadang semakin dianjak usia, kita semakin mudah terlupa.
Surah Al-Ahzab, Ayat 59:
يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ قُل لِّأَزْوَاجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَاءِ الْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِن جَلَابِيبِهِنَّ ذَٰلِكَ أَدْنَىٰ أَن يُعْرَفْنَ فَلَا يُؤْذَيْنَ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَّحِيمًا
Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Surah An-Nur, Ayat 31:
وَقُل لِّلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوْ آبَائِهِنَّ أَوْ آبَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ أَبْنَائِهِنَّ أَوْ أَبْنَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي أَخَوَاتِهِنَّ أَوْ نِسَائِهِنَّ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُنَّ أَوِ التَّابِعِينَ غَيْرِ أُولِي الْإِرْبَةِ مِنَ الرِّجَالِ أَوِ الطِّفْلِ الَّذِينَ لَمْ يَظْهَرُوا عَلَىٰ عَوْرَاتِ النِّسَاءِ وَلَا يَضْرِبْنَ بِأَرْجُلِهِنَّ لِيُعْلَمَ مَا يُخْفِينَ مِن زِينَتِهِنَّ وَتُوبُوا إِلَى اللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَ الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.
Sebagai ibu bapa (terutamanya sebagai seorang bapa), adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan keluarga kita faham dan patuh kepada perintah dan suruhan Allah serta tidak melakukan perkara-perkara yang terlarang.
Ini terkandung dalam firman Allah di dalam Surah At-Tahrim, ayat ke 6:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَائِكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لَّا يَعْصُونَ اللَّهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ
Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.
Untuk memudahkan kita menjalankan tanggungjawab memastikan kita dan keluarga kita terselamat dari api neraka, marilah kita mula mendidik anak kita sejak dia masih kecil.
Info: Cara yang terbaik untuk mendidik anak adalah bermula semasa kita memilih pasangan hidup kita. Pemilihan pasangan yang berilmu dan bertaqwa akan memudahkan proses membesarkan anak menjadi anak yang soleh dan solehah.
Untuk jejaka yang masih bujang –> 6 Tips Memilih Calon Isteri
3 Tips Supaya Anak Suka Bertudung
Sebenarnya tips yang ingin saya kongsikan ini adalah berinspirasikan perkongsian daripada seorang jiran saya. Anak dia baru setahun lebih, tapi dah pandai tutup aurat.
Anak jiran saya nih kalau nak keluar rumah, mesti pakai tudung. Bukan pakai sebab dipaksa, tapi sebab dah terbiasa. Tak perlu nak bagitau suruh pakai. Best kan? Saya pun nak lah anak saya suka bertudung sejak kecil 🙂
Alhamdulillah beliau berkongsi beberapa tips ringkas yang saya yakin kita semua boleh cuba. Rasanya tak susah mana. Kalau rasa susah pun, biarlah susah sewaktu anak masih kecil. Dah besar nanti lagilah mencabar.
Ini tips yang jiran saya amalkan dan Alhamdulillah terbukti berjaya. Saya adaptasi sekali dengan tips daripada Kak Faizah Ramli 🙂
1. Biasakan Anak Pakai Headband Atau Topi
Sejak lahir, biasakan anak menutup kepala. Waktu masih kecil, boleh gunakan headband atau topi. Ini supaya bila nak kenalkan dengan tudung, dia tak rimas dengan ‘something' yang berada di atas kepala.
Kalau anak dah nak masuk 1-2 tahun baru nak ajar pakai benda atas kepala, mesti dia rimas dan asyik nak tarik. Jadi dah menambah cabaran kepada kita untuk memujuk anak supaya jangan cabut tudung.
2. Asal Keluar Rumah, Pakai Tudung
Untuk menjadikan pemakaian tudung satu habit bagi anak, kita kena konsisten pakaikan dia tudung setiap kali nak melangkah keluar dari rumah. Hatta nak ke rumah jiran sebelah pun, pakai kan tudung.
Bila dah jadi tabiat, anak akan terikut dengan sendirinya. Bila dia nak keluar, dia akan capai tudung untuk dipakai. Walaupun masa tu anak masih belum faham kenapa perlu bertudung, tapi sekurang-kurangnya dia dah serasi.
3. Belikan Tudung ‘Instant' Yang Selesa
Zaman sekarang tudung instant untuk kanak-kanak dan bayi senang nak cari. Tak perlu pakai tudung yang jenis kena pin dan lipat sana sini. Tudung instant nih senang; seluk jer kepala masuk. Siap!
Bila nak pilih tudung instant nih pun, kena pastikan kain dan design yang dipilih adalah jenis yang selesa untuk anak. Ada jenis yang ada getah sesiap. Ada jenis kena ikat manual. Ada yang tak perlu ikat. Pilih lah yang mana anak kita selesa.
Kalau beli tudung yang panas dan tak selesa, anak akan cepat rimas dan tergaru-garu kepala. Sekejap jer lepas tu, tudung pun tercabut..
4. Doa & Minta Dipermudahkan Oleh Allah
Ini tips tambahan sekadar peringatan kita bersama. Selepas kita buat bahagian kita iaitu berusaha untuk mengenalkan tudung kepada anak kita, mohonlah pada Allah supaya anak kita suka untuk pakai tudung.
Kita hanya mampu berusaha, yang mengerakkan hati anak-anak adalah Allah jua. Tak gitu?
Sekian saja perkongsian saya sempena dengan sambutan Maulidur Rasul 1435 Hijrah. Mohon para pembaca mendoakan supaya anak-anak saya membesar menjadi anak yang soleh dan solehah. Begitu juga doa saya untuk anak-anak anda 😉
P.s. – Anda ada tips tersendiri yang anda gunakan supaya anak anda suka bertudung? Jemput kongsikan di ruangan komen untuk tatapan pembaca yang lain.
29 Comments
anak gua lelaki..insha Allah next punya nanti kalau ada rezeki boleh ikut tips yang dikongsikan..thanks bro
Semoga bro dapat anak perempuan nanti 🙂 Hehe… Nanti tulis entri, ‘Ada Apa Dengan Tudung’.
tengok emak. kalau emaknya sentiasa pakai, budak biasanya akan ikut.
Kadang2 emaknya pakai, tapi terlupa nak ajar anak pakai sekali.
betul tu… didikan perlu perlu bermula dr awal…. jgn bile dh besar bru nk pakse anak pakai tudung…
didikan juge perlu diseletkan dgn ilmu… agar mereka faham… kenapa perlu berhijab
Setuju sangat didikan perlu diselitkan dengan ilmu tentang ‘kenapa’ 🙂
kdg2 pengaruh org sekeliling pun boleh galakkan anak2 bertudung… mcm anak saya, si adik tengok kakak bersiap bertudung nak ke tadika, adik pun yg usia setahun 4 bulan nak bertudung jgk… btw,tips2 kt atas ni bagus… mmg kena galakkan dr kecil..
Sebab itulah kena berhati-hati semasa memilih kawan untuk anak-anak. Kawasan kejiranan juga memainkan peranan yang penting.
anak2 memang perlu dibiasakan
biasa pakai dan biasa lihat orang pakai
di rumah atau di mana2
insyaallah mereka akan suka pakai tudung
Tips menarik tu; biasakan pakai dan lihat orang pakai 🙂